Tuesday, June 10, 2008

TIADA YANG MURAH LAGI

Rata-rata orang mengeluh perihal gelombang inflasi yang kian mengganas. Beras yang melambung harganya, petrol dan diesel yang naik harga dalam kadar yang tertinggi dalam sejarah negara. Ini tentunya menghimpit sekelian rakyat. Keperitan ini tentulah lebih terasa kepada golongan yang berada dalam kumpulan berpendapatan rendah.

Kerajaan memberi alasan bahawa kenaikan yang terpaksa dikenakan kerana kerajaan tidak mampu lagi menanggung beban subsidi dek kerana kenaikan harga barangan bahanapi yang melampau dalam pasaran global. Fenomena itu benar-benar memeritkan.

Teringat teman seseketika dahulu di Pekan bernama Kuale. Ada hamba Allah yang ditakdirkan `gelong' separuh tiang. Kerjanya meminta-minta barang sekupang dua kepada siapa sahaja yang dirasakan boleh diminta. Lalu dia dipanggil `Mat Sekupang'. Mat Sekupang kini entah kemana, mungkin telah diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat atau mungkin juga telah sakit lalu tidak berupaya lagi menjalankan aktiviti `Mat Sekupang'nya. Atau mungkin juga telah pergi menemui Allah azawajalla.

Perlakuan `mat sekupang' ini masih ada rupanya, tetapi oleh orang lain pula yang gelong separuh tiang. Cumanya sudah tidak kedengaran lagi `mintak sekupang wehh...' Harganya sudah naik, `minta seringgit weh... teman tak makan lagi, lapar'.

Barangkali TIADA YANG MURAH LAGI, tiada yang sekupang lagi!.... lalu Mat Sekupang sudah tidak releven lagi. Yang releven ialah Mat Seringgit. Itulah tuntutan zaman inflasi, tempiasnya juga tidak membatasi siapa jua hinggalah insan yang gelong separuh tiang....

HzY